Remaja Lelaki ‘Hamil’ Kembar 15 Tahun


SUNGAI PETANI – Dari kecil perutnya membulat tetapi tidak sakit atau memudaratkan tetapi selepas 15 tahun ia semakin besar, sedikit memalukan dan kemudian ia menyakitkan.



Rupa-rupanya, di dalam perut remaja yang dikenali dengan nama Shahril itu, ada kembarnya yang hidup secara parasit dan akhirnya terpaksa dibuang menerusi pembedahan akibat sakit perut di hospital di sini, minggu lalu.

Sumber yang rapat dengan remaja itu berkata janin yang dikeluarkan itu mempunyai rambut bergulung sama panjang dengan ketinggiannya, selain kaki dan tangan serta alat sulit yang sudah pun terbentuk.

Sinar Harian melaporkan, sejak umur setahun sudah nampak kelainan dengan saiz perut Shahril yang membesar tetapi ia tidak membimbangkan kerana dia tidak mengalami kesakitan.

Malah, ketika kanak-kanak dia aktif bersukan dan bermain bola.

Shahril pernah dibawa menjalani pemeriksaan berikutan keadaan saiz perutnya yang membulat namun doktor tidak melakukan apa-apa pembedahan memandangkan dia tidak pernah rasa sakit.

Shahril juga dikatakan tidak seperti remaja lain kerana dia boleh makan dalam kuantiti yang banyak.

“Pernah sekali dia beritahu, dia kena makan banyak-banyak kerana perlu menampung makanan untuk disalurkan kepada ‘kandungan’ dalam perut,” kata sumber.

Bagaimanapun, katanya pergerakannya agak terbatas ketika memasuki sekolah menengah berikutan agak malu dengan bentuk fizikal tubuh badannya kerana tidak mampu lagi menyembunyikan perut yang semakin membesar.

“Sehinggalah sebulan lalu, remaja itu mengadu sakit perut. Apabila hendak tidur dan makan, perlu diurut terlebih dulu kerana rasa seperti dicucuk di perut.

“Dia juga tidak boleh menelan makanan memandangkan apa yang dimakan akan dimuntahkan kembali,” katanya.