" SUBSIDI PERLU DIHAPUSKAN Bagi Memperkukuh Fiskal Negara " - Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah

'Lebih banyak subsidi akan dimansuh untuk memperkukuh fiskal negara'Rakyat mesti bersikap terbuka, subsidi perlu dimansuh dan tidak boleh disediakan untuk jangka panjang.
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka akan mengurangkan lagi subsidi serta menghentikan pinjaman perumahan kepada kakitangan kerajaan bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Bercakap sewaktu temu bual bersama Bloomberg, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata penghapusan akan dilakukan secara berperingkat melibatkan petrol, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak.

"Naik taraf Fitch menyentuh tentang kedudukan fiskal Malaysia dan usaha kita melaksanakan konsolidasi. Justeru kita akan teruskan usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara," kata Mohd Irwan.

"Akan wujud cakap-cakap, namun saya sifatkan ia hanya sementara," katanya lagi.

Pada masa sama, Mohd Irwan berkata sebuah badan berkanun akan mengambil alih pinjaman perumahan kakitangan kerajaan sekali gus meringankan beban berjumlah RM40 bilion daripada akaun kerajaan.

Mohd Irwan berkata negara memperlihatkan kesungguhan memperbaik bajet yang dibayangi hutang 1MDB.

Beliau sekali lagi menegaskan 1MDB adalah sebuah syarikat yang kukuh yang mana firma berkenaan memiliki aset mencukupi untuk membayar hutang.

Fitch Rating sebelum ini menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan negara memikul liabiliti kecemasan tambahan melebihi jaminan akibat 1MDB.

Namun kerajaan memberi jaminan akan menangani hutang 1MDB dengan berhemah.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Antarabangsa Malaysia Datuk Jalilah Baba berkata pengurangan subsidi adalah langkah terbaik mengurangkan hutang kerajaan.

"Saya tidak rasa ia perlu dilakukan tahun ini, mungkin tahun depan atau akhir tahun depan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

"Rakyat mesti bersikap terbuka, subsidi perlu dimansuh dan tidak boleh disediakan untuk jangka panjang," katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj pula berkata pengurangan subsidi tidak sesuai dilakukan pada masa sentimen pengguna masih rapuh.

"Kita harap kerajaan membantu rakyat supaya perbelanjaan mereka kurang dari segi perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan," katanya kepada Astro AWANI.

Program rasionalisasi subsidi mula dijalankan sejak Julai 2010 bagi mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan.